Aku sebagai pembunuh.
Serabut otakku! Merintih kalbuku! Bercelaru jiwaku!
Suara nyaring dari langit, tiba-tiba meledak di fikiranku. “Kamu harus bertindak sekarang! Selamatkan diri kamu dan kekasih hidup dan mati mu!”. Bisikan lembut seperti di malam syahdu, melentur jiwaku. “Inilah waktunya kamu jalankan kewajipan mu. Kamu la penyelamat pada yang lemah dari mereka yang batil…..” bisikan-bisikan lunak membuai kalbu ku.
Aku la Man X. Panggil aku Man X! Lelaki sejati pahlawan Melayu terakhir!
Adakah dunia ini satu ilusi bagi ku? Ternyata, semua orang tidak mengenali diri ku. Mereka kata aku gila, sebenarnya, mereka-mereka lah yang gila! Mereka mentertawakan aku bila aku bercerita tentang suara nyaring dari langit, atau bisikan lembut bidadari yang sentiasa berkumandang di deria ku. Aku adalah orang yang terpilih, dan mereka-mereka iri hati kepada kehebatan dan keunggulanku!
Hanya Gadis Y memahami ku. Dia lah hidup dan mati ku! Hanya aku memahami Gadis Y. Hanya aku boleh menyintai Gadis Y! Dan hanya aku yang boleh menyelamatkan Gadis Y……
Masih segar di ingatanku, tentang perjalanan hidup Gadis Y yang getir, pahit, berliku dan beronak. Setiap kali aku teringat  Miss Y bercerita tentang hidupnya, berlinang air mata ku sendirian, sebak dadaku, seperti aku sendiri yang melaluinya. Gadis Y gadis sunti menjadi pujaan dan idaman ku. Man X akan melindungi dan menyelamatkan kamu, Gadis Y!
Setelah sekian lama, suara nyaring dan suara lembut bertengkar, akhirnya mereka berdua bersetuju dan memerintahkan aku, Man X pahlawan melayu sejati, untuk bertindak, menyelamatkan diriku dan gadis idaman ku. Eh.. aku terfikir, macam nak tulis lagu pula? Suara nyaring dari langit menemplak, “Fokus! Fokus Man X, kamu ada perkara penting yang kamu wajib lakukan!”. Iya, benar fikiran benak ku bersetuju.
Lalu aku menapak kerumah Gadis Y. Walaupun sudah lewat malam, langkah ku tetap gagah. Lautan api ku rela renangi, kerana mu Gadis Y. Keringat ku membasahi tubuh gagah perkasa ku. Langkah ku bertambah laju. Malam menjadi dingin, menyelubung tubuhku yang basah berkeringat. Lalu ku hayunkan tambah deras kaki-kaki ku. Nafasku beralun dan aku tercunggap-cunggap. Akhirnya, setelah seperti sepurnama, aku dapat lihat lampu malap menyelubungi rumah Gadis Y. Dan aku terdengar…..
Seakan-akan suara nyaring dari langitku, aku boleh dengar suara manusia terjerit-jerit. Lalu ku dekati rumah Gadis Y. Ya, pasti suara manusia sedang bertelingkah. Hiruk pikuk menceroboh keheningan malam. Rumah Gadis Y, ku lihat seperti rumah usang yang berhantu, seram tubuh basah keringatku. Terasa lemah kedua kaki ku. Rumah usang itu seperti berkata-kata dengan ku, “SIAPA KAMU LELAKI DURJANA, TERHENDAP-HENDAP DI MALAM BUTA !!!”. Kecut teramat perutku.
Cis! Fikirku, “Aku Man X, pahlawan Melayu terakhir!”. Namun aku tetap terasa gentar. Mana suara nyaring yang memerintahkanku? Mana suara lembut yang memujukku? Seperti aku ingin mengorak silat langkah seribu, tapi kaki ku lemah longlai. Tak bermaya, dan kecut perut ku memuncak sekali!
Tiba-tiba malam menjadi senyap. Sunyi. Sepi.
Sejenak aku terpingga-pingga. Seribu soalan menerpa fikiran ku. Suara nyaring dari langit, yang tadinya hilang, tiba-tiba memerintahkan aku mengintai dari bahagian dapur. Lalu aku bergegas ke belakang rumah. Gelap. Tapi tidak lagi menakutkan aku. “He he he, aku Man X, pahlawan Melayu terakhir!”.
Ada jendela terbuka di bahagian dapur. Aku segera menjengguk kedalam. Ish! Terkejut aku!
Gadis Y kelihatan pengsan di dapur. Bapa tirinya terbaring di sebelah Gadis Y. Apa sudah jadi? Berputar-putar fikiran ku. Bercelaru. Seperti biasa, suara lantang, nyaring dari langit berkumandang bagai halilintar! “Man X, sudah tiba masanya kamu menjalankan kewajipan kamu!”.
Aku panjat jendela terbuka. Baru aku ternampak ibu Miss Y, dia juga tidak sedarkan diri, tidak jauh di ruang tamu.
Suara nyaring dan suara lembut, beralun seirama, gemersik lagu rock kapak, memerintahkan aku mengambil sebilah pisau di dapur. Aku seperti terapung-apung di awang-awangan. Aku sedar akan tanganku, membenamkan pisau itu ke tubuh bapa tiri Gadis Y. Namun aku dan seluruh tubuhku, hanya mengikut perintah dua suara yang bergabung jitu itu.
Terimbas di fikiran ku, cerita Gadis Y, bagaimana bapa tiri dan ibunya, bersekongkol dan berpakat, membunuh bapanya suatu waktu dahulu. Pembunuhan itu dicatur seperti, bapanya terbunuh dalam kemalangan. Semua itu, hanya kerana ingin mengutip wang insuran nyawa bapanya, dan nafsu dua insan hangat membara bercinta durjana……
Di keheningan malam, aku mengorak langkah untuk jauh dari situ. Aku telah berjaya menyelamatkan diriku dan Gadis Y! Aku lah MAN X, PAHLAWAN MELAYU TERHEBAT!
Sambungan Wanita Pembunuh Kejam (Babak 5) – Aku yang terbunuh.