Semenjak kita kenal erti sekolah, kita dididik dan dipaksa memahami, jika buat kesalahan, kita akan dihukum. Ini meliputi darjah satu sehingga tingkatan lima.
Kurang bijak, masuk kelas yang setimpal. Bising, denda atau rotan. Berbagai peraturan dan pelbagai hukuman. Kita mesti berdisiplin. Untuk mencapai peringkat tersebut, kita dipaksa dan dilatih, tidak boleh buat salah atau kesilapan. Semuanya mengikut peraturan.
Kita dikehendaki patuh dengan peraturan-peraturan tersebut. Tiada tolak ansur. Sesiapa yang tidak mengikut norma-norma tersebut, dianggap nakal atau lebih teruk lagi, bakal sampah masyarakat. Di situ juga kita dikasta-kasta kan.
Tidak salah, jika mahu anak-anak kita berdisiplin dan menurut perintah. Ramai yang sokong, kerana sistem persekolahan masih sama setelah berpuluh tahun. Kita dimomokkan, tidak boleh buat salah dan silap. Lagi-lagi dalam mata pelajaran di sekolah tersebut.
Saya ingin menarik perhatian bahawa:
1. Cara perhubungan manusia berbeza. Cara memahami berbeza.
2. Perangai dan personaliti berbeza. Ada yang agresif dan ada yang pemalu dan sebagainya.
3. Latar belakang sosio keluarga berbeza. Cara kita dibesarkan berbeza.
Di sekolah-sekolah, catuannya hanya satu. Tajuk besarnya, tidak boleh buat salah. Jika salah, didenda. Pisikal sudah lumrah. Mental lagi bahaya.
Tidak perlu setuju atau sokong saya. Cuma fikirkan, diri sendiri ketika bersekolah dahulu. Ada kebenaran yang saya nyatakan? Perlu perubahan?
Untuk memberi kefahaman mudah, cuba bayangkan, ketika kita semua bayi dahulu. Sekiranya kita takut membuat kesilapan atau didenda kerana salah cara merangkak atau bertatih, bolehkah kita berjalan tegak sekarang? Atau kita diberi sokongan dan dorongan, masa kita mula merangkak dan bertatih? Kita dibantu supaya boleh berjalan cepat dan tegap. Tidaklah kita dihukum ketika itu?
Fikir-fikirkan. Jelas ketika kita membesar, untuk cepat memahami dan belajar apa jua pun, kita dibenarkan membuat salah dan digalakkan untuk maju.
Kenapa apabila ke sekolah kita tidak begitu? Secara amnya.
P/S: Saya menulis berdasarkan 80%. Pasti ada yang 20% dilayan dengan baik kerana mereka dianggap “berjaya” dan mengikut peraturan-peraturan sekolah yang disediakan.