1. Kerugian.
Tahap kerugian wang ringgit, masa dan keringat berbeza. Ada yang kerugian RM 1 juta, masih boleh tersenyum, kerana RM sejuta “hanya” duit poket.
Manakala, jika itulah simpanan “terakhir” walaupun RM 10, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Jika hendak berniaga, dinasihatkan, guna modal yang tidak membebankan sekiranya gagal. Saya pasti, ada yang tidak atau kurang setuju. Seseorang berniaga itu harus mengambil risiko, kata sifu perniagaan. Hendak untung besar, mesti modal besar. Saya hanya menasihatkan, elakkan perkara sebegitu. Tepuk dada, tanya selera. Lagi-lagi bila berniaga guna duit orang lain!
Elakkan berhutang. Bila betul-betul perlu, untuk membiayai projek misalnya. Jika untuk tutup lubang, gali lubang, parah akhirnya. Lubang makin besar, lama-lama tak terkambus. Terpaksa lari dan menyorok. Orang semua panggil kita penipu atau “scammers”.
2. Kehilangan sahabat-sahabat.
Kawan ketawa ramai. Kawan menangis sikit, itu pun kalau ada. Sudah lumrah manusia, mereka mahu berkawan dengan yang “berjaya” sahaja.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tahu, siapa kawan-kawan yang benar-benar setia. Kalau kita lihat keseluruhan perjalanan hidup kita, sebenarnya, ada sahaja, kawan lama menghilang atau mengundur diri, ada pula kawan baru yang hadir atau mengganti.
Cuma bila sedang susah kegagalan perniagaan, kita lebih memerlukan kawan-kawan memberi sokongan. Kita lebih peka kepada yang tiada.
3. Kehancuran rumahtangga.
Ketika mendirikan rumahtangga, saya pasti, tiada siapa yang berniat untuk menghancurkannya. Dan, tiada siapa mahu memulakan perniagaan, dengan berniat untuk gagal. Ramai yang memulakan perniagaan, demi mengkukuhkan rumahtangga tersebut.
Namun, ketika badai gelombang kegagalan melanda perniagaan, masa itulah, ada rumahtangga yang ikut hancur. Ada sesiapa yang pernah melaluinya? Atau dengar cerita sedemikian rupa?
Berniaga ini sunnah Nabi. Buat lah dengan terbaik dan bijaksana. Pastikan keperluan keluarga mencukupi, bukan sahaja wang, tetapi masa kualiti bersama keluarga dan jangan lupa ibadah untuk diri sendiri.
Saya pasti banyak lagi kesan-kesan kegagalan perniagaan. Ada yang hilang kesiuman. Dan ada yang kehilangan iman. Boleh sahabat-sahabat kongsi pengalaman untuk jadi tauladan atau sempadan?
Yang pasti, dalam hidup kita sentiasa ingat Allah S.W.T. yang Maha berkuasa. Dahulu, bila diselubungi kegagalan, baru saya lebih mengingati Tuhan. Sekarang, sentiasa ingat pada Tuhan. Kita yang perlukan Tuhan.
“Cuba jalan terus, menuju jalan yang lurus”