Masih ada orang tinggal bawah jambatan di Kuala Lumpur? Pagi ni setelah melihat satu video yand sedang viral, jawapannya, ada… Seorang ayah yang gigih dan tabah bersama-sama dua orang anak perempuannya… alhamdulillah ramai yang sedang membantu mereka. Tahniah kepada pembuat video. Teruskan perjuangan mu!
Pembuat video, menyatakan, dia membuat video tersebut, dengan harapan untuk kita semua membuat sesuatu (take action) dan peka terhadap perkara-perkara seperti ini.
Dengan niat yang sama, saya kongsikan dua kisah yang saya sendiri alami. Semoga semua kawan-kawan dan kenalan saya peka dan membuat sesuatu dengan segera jika berhadapan dengan situasi yang sama.
Kisah pertama:
Di sebuah gerai-gerai makanan (food court) di Kelang, Selangor. Kira-kira pukul empat petang. Sedang saya menikmati mee jawa sepinggan, seorang wanita Tiong Hwa berumur lingkungan 60an datang menjual ubat-ubatan. Dengan hormat saya menolak jualannya. Ketika itu, saya lihat wajahnya yang berkedut sungguh muram. Sedetik berlalu… beberapa saat kemudian, beliau berkata, tolong la encik, beli ubat ini, saya belum makan lagi dari pagi.
Pada mulanya saya fikir, ini hanya teknik untuk melakukan hasil jualannya. Saya minta maaf pada beliau, saya tidak ada guna ubat-ubat tersebut. Tetapi, terlintas difikiran saya, jika benar-benar beliau lapar dan belum makan lagi? Lalu saya pun menjemput beliau makan bersama. Dengan sopan, beliau duduk meja terdekat dengan saya. Lalu saya pun order sepinggan mee jawa untuk beliau. Pekedai bertanya, mahu minum apa? Beliau jawap, air suam…. entah kenapa sedih betul saya rasa ketika itu.
Masih segar gambaran itu di ingatan saya. Setelah makan dan membayar makanan-makanan tersebut, saya segera beredar. Saya tidak mahu, wanita Tiong Hwa itu melihat linangan air mata saya. MasyAllah, saya hampir-hampir menganiaya seorang ibu kelaparan!
Kisah kedua:
Kerana terlalu lapar, kira-kira pukul 3 petang, saya singgah di sebuah KFC di Petaling Jaya. Terus buat order dan buat bayaran di kaunter dan ambil hidangan saya. Duduk di satu meja yang selesa dan mula membaham juadah yang sememangnya lazat hingga menjilat jari.
Sedang enak makan, dari sudut mata saya, nampak seorang berbangsa India masuk. Pakaian agak kemas, cuma berjambang agak berserabut. Umur lebih kurang lima puluh lima, sebaya dengan saya. Saya terus perhatikan, sebab beliau terus ke meja terdekat dengan pintu. Saya tidak dapat dengar apa yang beliau cakapkan, tapi dari pergerakkan tangan, seperti beliau meminta makan.
Apabila tidak dilayan, beliau ke meja sebelah lagi. Juga tidak dilayan. Kalau tidak silap, saya duduk di meja kelima paling hampir dari pintu. Apabila beliau sudah hampir dengan meja saya, saya dapat lihat, beliau berkemeja kemas, tetapi seluar lusuh dan ada sedikit kotor. Saya dapat lihat, beliau mengerakkan tangan seperti menyuap makanan sambil memegang perut yang mungkin lapar. Beliau kelihatan kurus dan tidak bermaya.
Tanpa berlenggah, saya bangun, dan saya bimbing beliau ke kaunter untuk membuat tempahan. Saya pastikan beliau dapat tempahan tersebut. Saya terus habiskan makanan saya, melihat beliau keluar dari restoren tersebut. Tidak tahu saya kenapa beliau tidak makan di situ sahaja?
Berfikir saya, kenapa tiada yang hendak bagi beliau makan? Mungkin pelanggan-pelanggan di situ tidak mampu memberi seorang insan yang kelaparan makan. Alhamdullillah, Allah S.W.T. beri saya peluang untuk bersedekah.
Sebenarnya ada banyak lagi kisah-kisah yang saya boleh ceritakan. Saya pernah lihat di sebuah restoren di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Ada seorang pengemis yang sangat kotor. Dia masuk restoren tersebut, dan meminta makanan. Pada mulanya, saya ingat pengemis itu akan dihalau. Sebak dada saya lihat, pemilik restoren tersebut, sendiri bungkuskan makanan dan beri kepada pengemis tersebut. Saya dengar beliau bagitau pengemis tersebut, bila lapar sila datang lagi. Saya bersyukur dan terasa amat kecil sekali. Ramai la hendaknya orang-orang mukmin yang akan membantu mereka-mereka yang kelaparan.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?”
You made me cry
Hey bro, maybe we, u n me n a few others shud meet n cry together . .
Pingback: Jom Belanja Makan (JBM) | Rostam Effendi